Konsep Membangun Bersama Islam

Ubudiyyah

Prinsip ini menekankan tentang sifat manusia sebagai hamba kepada Allah. Maka setiap perbuatan dan pekerjaan seharian manusia hendaklah selari dengan syariat yang diturunkan oleh Allah. Ia berasaskan kepada keimanan dan ketakwaan kepada Allah. Di mana setiap pekerjaan yang dilakukan hendaklah diniatkan sebagai ibadah. Justeru, tujuan ibadah itu sendiri merangkumi seluruh aspek kehidupan termasuk tingkah laku dalam pekerjaan sama ada perbuatan, perkataan dan gerak hati (niat) yang diredhai Allah. Oleh itu, kecemerlangan dan kejayaan dalam kerjaya dan juga kehidupan ini sangat berkait rapat dengan sejauhmana kita melakukan pekerjaan itu dengan sebaik mungkin kerana Allah SWT.

Masuliyyah

Masuliyyah pula prinsip berkaitan integriti dan tanggungjawab. Setiap perbuatan dan pekerjaan manusia adalah berkaitan dengan agama dan melibatkan soal dosa dan pahala. Ia akan dinilai dan diadili di akhirat kelak. Prinsip ini menekankan soal pelaksanaan tugas dengan penuh tanggungjawab dan akauntabiliti.

Itqan

Itqan ialah prinsip yang menekankan kepada akhlak dan amalan salih. Setiap manusia perlu bersungguh-sungguh, tekun dan memberi komitmen yang tinggi dalam melaksanakan tugas. Ini akan melahirkan kualiti kerja yang baik dan cemerlang. Ia juga melibatkan soal keikhlasan atau mutu kerja di mana dari ajaran Islam inilah yang akan menyelamatkan manusia di dunia dan di akhirat.